Bola Sepak

Uefa tolak pasang lampu pelangi untuk aksi Jerman-Hungary

Oleh AFP

Munich: Uefa hari ini menolak cadangan untuk memasang lampu berwarna pelangi di Allianz Arena di Munich untuk perlawanan Euro 2020 antara Jerman dan Hungary, sebagai sokongan kepada komuniti LGBT dan memprotes peraturan dikenakan kerajaan Hungary.

"Uefa adalah pertubuhan yang neutral politik dan agama," kata badan induk bola sepak Eropah itu dalam satu kenyataan, menjelang perlawanan malam esok.

"Memandangkan permintaan ini turut berkaitan politik - dengan mesej ditujukan kepada keputusan diambil Parlimen Hungary - Uefa terpaksa menolak."

Keputusan Uefa itu mengundang kritikan daripada komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Jerman.

"Kami bingung dengan cara Uefa menangani nilai yang sepatutnya diterima dalam masyarakat," kata jurucakap Persatuan Lesbian dan Gay (LSVD) Jerman, Markus Ulrich.

"Uefa tidak mengiktirafnya buat masa ini dan nampak jelas ia berpihak kepada siapa dengan keputusan ini."

Datuk Bandar Munich, Dieter Reiter, mahu stadium itu dipasang lampu warna pelangi pada perlawanan penting Kumpulan F itu untuk 'menyatakan tanda solidariti jelas' dengan komuniti LFBT Hungary.

Minggu lalu, kerajaan haluan kanan Hungary meluluskan undang-undang melarang promosi homoseksual kepada masyarakat, melarang homoseksual disebut dalam program pendidikan atau bahan lain.

Disiarkan pada: June 22, 2021 @ 8:36pm
d