mutakhir

Tahan penolong setiausaha bahagian kementerian didakwa terima rasuah RM1j [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seorang penolong setiausaha bahagian di sebuah kementerian direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, bermula hari ini kerana disyaki menerima rasuah bernilai RM1 juta sebagai balasan membantu 11 syarikat mendapatkan kontrak.

Perintah reman sehingga 27 Jun itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan itu pagi ini untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, suspek berusia 46 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, semalam selepas hadir memberi keterangan pada 9 malam.

Difahamkan, dia menerima rasuah dalam pelbagai bentuk sejak 2016 sebagai balasan membantu 11 syarikat mendapatkan projek bekalan am, perkhidmatan dan pengangkutan di kementerian itu.

Suspek menerima suapan berbentuk wang tunai kira-kira RM300,000, barang kemas, tanah lot berkeluasan dua ekar, rumah kedai dua tingkat dan sebuah motosikal dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1 juta.

Disiarkan pada: June 23, 2021 @ 12:47pm
d