mutakhir

Umno harap ada penyelesaian isu pegawai perubatan kontrak

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kerajaan diharap dapat mengemukakan langkah penyelesaian yang komprehensif terhadap isu Hartal Doktor Kontrak untuk pegawai perubatan kontrak.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu perlu ditangani sebaik mungkin untuk kepentingan mereka dan keperluan perkhidmatan kesihatan negara.

"Ia membabitkan lebih 23,000 pegawai perubatan yang tidak diserapkan dalam perkhidmatan perubatan sedangkan mereka menamatkan pengajian dan melakukan houseman ship sejak 2016.

"Perlanjutan kontrak mereka sehingga penghujung 2022 bukan jalan penyelesaian yang selari dengan kepentingan jangka masa panjang sektor perubatan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, negara ketika ini memerlukan lebih banyak hospital, ramai pakar, pegawai kesihatan dan jururawat terlatih serta peningkatan akses secara menyeluruh kepada kemudahan kesihatan berkualiti.

Justeru, katanya, kerajaan perlu mengemukakan formula terbaik untuk menyerapkan pegawai perubatan kontrak ke dalam sistem perkhidmatan kerajaan.

"Walaupun lazimnya serapan ke jawatan tetap berlaku apabila ada kekosongan, sistem kesihatan negara tidak lagi boleh beroperasi dengan kapasiti seperti sebelum ini..

"Jumlah perjawatan yang di peruntukkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada nisbah dan norma prapandemik mungkin tidak lagi sesuai dan perlukan perubahan," katanya.

Justeru, Mohamad menuntut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangka dasar dan keperluan guna tenaga yang lebih strategik dan mapan dalam primary care, kesihatan mental, pembangunan hospital dan prasarana perubatan, preventive health dan penyelidikan perubatan.

Terdahulu, sekumpulan pegawai perubatan kontrak dilaporkan dalam media sosial akan melakukan mogok yang dirancang pada akhir bulan Julai sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan isu mengenai penempatan tetap mereka.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menegaskan bahawa pengambilan graduan perubatan untuk mengikuti latihan siswazah tidak pernah dihentikan malah diteruskan seperti biasa.

Disiarkan pada: June 27, 2021 @ 5:09pm
d