mutakhir

'Ini ujian besar buat keluarga saya' [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: "Ini satu ujian yang besar buat saya dan keluarga tambahan suami satu-satunya yang mencari rezeki dan pendapatan memang terjejas kerana kami hanya bergantung kepadanya," kata Amira Mustafa, 29, isteri kepada pekerja penyelenggaraan pendingin hawa yang jatuh dari tingkat 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, Ahad lalu.

Amira berkata, dia yang tidak bekerja dan perlu menyara tiga anak berusia lapan bulan hingga tujuh tahun sangat terharu kerana mendapat bantuan sejak kejadian itu.

"Buat masa ini keadaan suami, Muhammad Fathullah Muhammad Zafri, 31, masih kritikal dan sudah dua kali menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Sekarang hanya menunggu maklum balas daripada doktor mengenai perkembangan suami tambahan saya tidak dapat melihatnya yang berada di ICU (unit rawatan rapi) ketika ini kerana perlu mematuhi prosedur hospital berkaitan Covid-19," katanya ketika ditemui di IPD Dang Wangi, di sini, hari ini.

Terdahulu dia menerima sumbangan daripada IPD Dang Wangi yang disampaikan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Amira berkata, suaminya itu memang sudah lama bekerja sebagai pekerja penyelenggaraan pendingin hawa dan memang pernah tercedera sebelum ini namun tidak seteruk ini.

"Waktu menerima berita menimpa suami saya amat terkejut dan ketika itu pasti semua orang akan berfikir dia tidak ada harapan kerana terjatuh dari tingkat 10.

"Saya pula ketika itu berada di Kuala Kangsar, Perak selepas berpindah ke rumah keluarga saya sejak Januari lalu kerana orang tua tidak sihat," katanya.

Katanya, dia baru tiba ke sini Khamis lalu dan difahamkan setakat ini keadaan suami ada sedikit perkembangan namun masih menunggu pihak doktor memaklumkan situasi terkini.

"Saya juga sangat terharu dan berterima kasih dengan bantuan ini kerana Allah mempermudahkan urusan saya dari Perak ke sini," katanya.

Sementara itu, Mohamad Zainal berkata, pihak IPD Dang Wangi berdoa semoga mangsa kembali pulih dan pihaknya terpanggil untuk memberi sedikit sumbangan sebanyak RM5,250 kepada keluarganya.

"Kita faham dalam keadaan sekarang banyak dugaan dan halangan khusus kepada keluarga ini jadi kita tampil membantu sebagai satu tanggungjawab sosial.

"Sumbangan ini dapat membantu sedikit sebanyak keluarga mangsa menjalani kehidupan seharian tambahan kecederaannya itu mengambil masa untuk pulih," katanya.

Beliau berharap keluarga mangsa sentiasa tabah dan moga urusan mereka dipermudahkan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pekerja penyelenggaraan penghawa dingin cedera selepas terjatuh dari tingkat 10 IPD Dang Wangi ketika sedang melakukan kerjanya Ahad lalu.

Disiarkan pada: June 28, 2021 @ 12:38pm
d