mutakhir

Terima undangan istimewa awal pagi

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: "Saya segera batalkan niat ke kebun sebaik menerima `undangan' suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Sukan Komuniti FELDA Palong Enam di sini, pagi ini," ujar Jemiah Zakaria, 69.

Menurutnya, dia tidak menyangka namanya tersenarai sebagai penerima suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

Katanya, dia yang sudah bersiap untuk ke kebun tergerak hati memeriksa aplikasi MySejahtera sebelum keluar dari rumahnya pada jam 7.30 pagi.

"Saya tengok ada arahan untuk ke PPV Kompleks Sukan Komuniti FELDA Palong Enam di sini, pada jam 10 pagi. Saya sekaligus membatalkan hasrat ke kebun.

"Jika saya tidak melihat aplikasi MySejahtera, sudah pasti saya terlepas suntikan vaksin dan mungkin perlu menunggu lebih lama lagi," katanya tadi.

Sementara itu Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Mohd Salim Mohd Sharif merasmikan pelancaran PPV berkenaan yang membolehkan penduduk sekitar gugusan FELDA Palong 1 hingga 16 menerima suntikan vaksin.

Hadir sama Setiausaha Politik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Megat Firdouz Megat Junid; Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Palong Mustapha Nagoor dan ADUN Jeram Padang Datuk L Manickam.

Selain PPV KSK FELDA Palong Enam, Mohd Salim dan Megat Firdouz turut mengadakan lawatan ke PPV Dewan Majlis Perbandaran Jempol ( MPJL) yang juga dibuka bermula hari ini.

Disiarkan pada: June 28, 2021 @ 6:25pm
d