mutakhir

Cubaan seludup 20 lembu Brahman gagal

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 20 ekor lembu jantan baka Brahman dipercayai diseludup yang bernilai RM252,000 di Jalan Kampung Repek, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, anggota bertugas menahan sebuah lori keadaan mencurigakan.

Katanya, dua lelaki berusia 47 dan 57 tahun yang berasal dari Tumpat ditahan untuk pemeriksaan namun tidak menemui barangan salah.

"Hasil pemeriksaan ke atas lori menemui lembu jantan baka Brahman. Anggota meminta pemandu mengemukakan dokumen serta permit perjalanan bagi membawa ternakan berkenaan.

"Berdasarkan dokumen terbabit, terdapat keraguan yang dikenal pasti apabila tiada dinyatakan nombor 'seal', selain tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Dua lelaki berkenaan ditahan serta ternakan dan lori dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Jeram Perdag bagi tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata, kes itu diserahkan kepada pihak Veterinar Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut di bawah Sekyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

"Siasatan siasatan awal mendapati kesemua lembu ini diambil daripada sebuah kandang di Tumpat dan dibawa menggunakan lori ke Selangor untuk dipasarkan.

"PGA7 memastikan penyeludupan lembu tidak terlepas begitu saja, terutama membabitkan isu lembu yang dijangkiti penyakit Lumpy Skin Disease (LSD)," katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2021 @ 10:51am
d