mutakhir

Maut terkena renjatan elektrik

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Lelaki warga Thailand yang juga kru sebuah bot nelayan tempatan maut dipercayai akibat renjatan elektrik di kedudukan 26.8 batu nautika barat laut Pulau Pangkor, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa berusia 54 tahun dilaporkan meninggal dunia oleh pihak perubatan Hospital Seri Manjung (HSM) pada 6 pagi.

Pihak Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (APMM) dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 1.27 pagi dan ketika itu mangsa berada dalam keadaan separa sedar.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik bot sebelum Kapal Maritim (KM) Gagah digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi selain pihak Hospital Seri Manjung (HSM) juga dimaklumkan bagi bantuan kecemasan dan perubatan mangsa.

"Anggota melakukan pemindahan mangsa dari bot ke kapal dan kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Gerakan Marin (PGM) Kampung Acheh, Sitiawan sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan HSM untuk rawatan lanjut.

"Kejadian dilaporkan berpunca daripada renjatan elektrik di bot berkenaan. Mangsa melecur separuh badan dan kelihatan dalam keadaan separa sedar," katanya dalam kenyataan, di sini.

Shahrizan berkata, mangsa dilaporkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan HSM pada 6 pagi.

Menurutnya, orang awam boleh melaporkan sebarang kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.

Disiarkan pada: June 29, 2021 @ 1:52pm
d