mutakhir

Ciri baharu MySejahtera untuk pelajar lanjut pengajian

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Satu ciri baharu diperkenalkan di dalam aplikasi MySejahtera bagi membolehkan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di luar negara memohon vaksin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, ia sudah dikemaskini di dalam aplikasi itu dan sudah mula digunakan Isnin lalu.

Katanya, permohonan yang dihantar ke sistem akan diproses dalam masa 10 hari dan statusnya boleh disemak di dalam MySejahtera pemohon.

"Permohonan perlu disertakan dengan dokumen sah yang boleh menyokong permohonan awal vaksin mereka.

"Permohonan sama perlu dibawa ke PPV (Pusat Pemberian Vaksin) untuk pengesahan. Dokumen ini adalah pengesahan daripada universiti luar negara.

"Pengenalan ciri terbaharu ini adalah untuk memastikan kelancaran urusan kumpulan pelajar yang perlu divaksinasi sebelum dibenarkan masuk ke negara lain," katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Khairy berkata, untuk perjalanan ke luar negara bagi tujuan lain masih perlu dihantar ke permohonan@vaksincovid.gov.my.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penerima dos pertama AstraZeneca akan menerima jenis vaksin yang sama untuk dos kedua.

"Setakat ini mereka yang sudah mendapatkan dos pertama akan menerima vaksin yang sama bagi dos kedua," katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2021 @ 3:09pm
d