mutakhir

Mahu lebih ramai OKU terima vaksinasi [METROTV]

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: "Jangan takut, langsung tak rasa apa dan rakan-rakan OKU perlu menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi melindungi diri dan keluarga," kata Norhaslina Suria Mohamed.

Norhaslina, 38, antara 200 orang kurang upaya (OKU) yang menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Terengganu (TTC), semalam.

Katanya, meskipun berstatus OKU, ia tidak mematahkan semangatnya untuk hadir ke PPV bagi mendapatkan suntikan vaksin itu.

"Alhamdulillah, saya yang ditemani suami, Mohamad Ridhuan Mohamad Yusoff, 44, berasa sangat teruja kerana dipanggil untuk menerima suntikan vaksin itu.

"OKU yang masih belum berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin perlu berbuat demikian segera supaya terhindar daripada penyakit Covid-19," katanya yang juga atlet memanah Terengganu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT), Tengku Arman Harris Tengku Ismail berkata, masih terdapat OKU tiada berkeyakinan untuk menerima suntikan vaksin.

"Masalah komunikasi juga menjadi halangan utama untuk membawa lebih 600 ahli POPT berusia 18 hingga 75 tahun ke PPV berdekatan walaupun sudah membuat janji temu.

"Ramai yang takut-takut dan tidak kurang juga kurang pengetahuan untuk menggunakan aplikasi MySejahtera," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 6:20pm
d