mutakhir

Satu lagi negeri akan masuk fasa kedua PPN

Oleh Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Sebuah negeri lagi bakal memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas memenuhi tiga nilai ambang yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pengumuman mengenai negeri itu hanya akan diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Menurutnya, Perlis, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu antara negeri pertama yang memasuki fasa kedua PPN bermula hari ini.

Katanya, sebaik negeri memasuki fasa kedua PPN beberapa kelonggaran akan diberikan dalam aktiviti harian.

"Ada sebuah lagi negeri akan memasuki fasa kedua PPN selepas ia memenuhi syarat nilai ambang ditetapkan," katanya dalam sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara maya, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Peralihan mengikut fasa dalam PPN hanya akan dilaksanakan apabila negeri mencapai nilai ambang termasuk jumlah kes positif harian, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) dan kadar vaksinasi.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan peningkatan jangkitan komuniti Covid-19 Kebangsaan sejak 10 minggu lalu, bermula dari Minggu Epid (ME) ke-16.

Beliau berkata, paras jangkitan dalam komuniti dibuat berdasarkan insiden kes dan kadar kemasukan ke hospital.

"Secara purata KKM mendapati sebanyak 79 kematian akibat Covid-19 direkodkan setiap hari pada ME ke-26 bermula 27 Jun hingga 3 Julai lalu dengan peningkatan 2.6 peratus berbanding ME ke-25.

"Bilangan pesakit yang dirawat di ICU juga turut meningkat 3.1 peratus dengan 892 kes dirawat di seluruh negara," katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2021 @ 4:50pm
d