mutakhir

MCA sokong lantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai TPM

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: MCA menyokong pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan seperti diumumkan hari ini.

Presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pelantikan itu akan memperkukuhkan lagi pentadbiran kerajaan.

Katanya, kedua-dua pemimpin itu berpengalaman luas dan MCA yakin mereka dapat memberi sumbangan yang memanfaatkan rakyat dan negara.

"MCA akan terus bekerjasama erat dengan Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishammuddin serta semua anggota kabinet untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, memulihkan semula ekonomi negara dan membantu rakyat berdepan waktu sukar," katanya.

Terdahulu kenyataan pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri manakala Hishammuddin pula dilantik menjadi Menteri Kanan Luar Negeri dan mengetuai Kluster Keselamatan.

Kenyataan dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkuat kuasa serta-merta.

Disiarkan pada: July 7, 2021 @ 5:49pm
d