mutakhir

Kedai sate Jabi lengang [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Jerteh: Peniaga sate Jabi menerima tempias apabila perniagaan diusahakan merosot sehingga 70 peratus susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula Mei lalu.

Deretan beberapa kedai sate di Jabi yang selama ini menjadi hentian wajib buat pengguna jalan raya lengang dan suram.

Walaupun kekurangan pelanggan namun majoriti peniaga tetap beroperasi seperti biasa bagi menampung perbelanjaan harian.

Peniaga, Ramlah Dollah, 54, berkata, dia dan suaminya tetap membuka kedai sate yang diusahakan keluarga sejak 44 tahun dulu.

Katanya, dia sebelum ini tidak menang tangan memenuhi pesanan pelanggan sama ada yang datang untuk makan di kedai atau dibungkus.

"Pendapatan memang merosot, bayangkan dulu boleh jual sehingga 3,000 cucuk sate sehari tetapi kini kami hanya membuat kira-kira 500 cucuk sate saja sepanjang PKP ini.

"Malah, ada kalanya 500 cucuk sate itu tidak habis dijual selain terpaksa menunggu beberapa jam untuk menerima pelanggan yang pertama," katanya.

Bagi Mohd Zamir Ibrahim, 54, dia dan peniaga sate yang lain banyak bergantung kepada orang luar namun pelaksanaan PKP yang mengehadkan perjalanan rentas daerah dan negeri menjejaskan hasil jualan mereka.

"Kita jual sate dan kalau mahu berharap penduduk setempat, takkan mereka ini mahu makan sate setiap hari.

"Bagaimanapun, kami tiada pilihan dan buka juga kedai kerana ini sumber pendapatan kami.

"Saya berharap pandemik Covid-19 ini segera berakhir supaya kita semua dapat kembali menjadi kehidupan normal seperti dulu," katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2021 @ 11:54am
d