Bola Sepak

Penyokong JDT usah cepat melatah - Hasnizam

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Bekas pemain Johor, Hasnizam Uzir berharap penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak cepat melatah apabila menuntut ketua jurulatih, Benjamin Mora digugurkan selepas gagal menyerlah pada kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang diadakan di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Beliau menegaskan prestasi JDT nyata tidak bimbang kerana skuad kendalian Mora menunjukkan peningkatan dari segi prestasi dalam setiap perlawanan yang diharungi dan mampu memberi saingan terhadap kelab yang lebih berpengalaman seperti Pohang Steelers dari Korea Selatan, Nogaya Grampus (Jepun) dan Ratchaburi (Thailand).

"Kenapa perlu minta Mora lepaskan jawatan. Saya berpandangan tidak perlu kerana beliau sudah membentuk pasukan yang mantap untuk bersaing dengan kelab-kelab ternama di Asia. Malah saya lihat tidak adil untuk Mora melepaskan jawatan.

"Kita lihat sendiri prestasi JDT, bukan jadi pasukan belasahan dalam saingan Kumpulan G, sebaliknya mampu memberi saingan sehingga pasukan lawan tampak bermandi peluh untuk menang. Hanya kita tewas dengan jaringan besar 1-4 ketika menentang kelab dari Korea itu pun sebab tiga sepakan penalti.

"Apa yang dinyatakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah benar kerana realistiknya Nogaya Grampus dan Pohang Steelers adalah pasukan yang hebat dari segi teknikal individu pemain mereka dan bersaing di liga yang lebih kompetitif berbanding Liga Malaysia (Liga M).

"Mora setakat ini berjaya merubah corak permainan bola sepak moden yang lebih serta mewujudkan satu DNA dan falsafah bola sepak JDT tersendiri mengikut kemampuan teknikal setiap pemain JDT yang sedia ada. Ia terbukti selepas JDT kini masih di tangga teratas Liga Super dan mampu menjaringkan gol berbanding dibolosi," katanya.

Semalam, Tunku Ismail mempertahankan Mora selepas dikecam segelintir pengguna media sosial yang dipercayai penyokong JDT mempertikaikan taktikal yang direncana pengendali kelahiran Mexico itu dan beliau dipecat dengan banyak komen `Mora out` di buat di laman Instragram rasmi kelab.

Hasnizam berkata kelebihan Mora mampu menilai kemampuan pemain-pemain muda dan berani menampilkan pemain seperti Afiq Fazail, Ramadhan Saifullah Usman dan Ariff Aiman Hanafi beraksi di pentas Asia malah menaruh sepenuh kepercayaan kepada mereka untuk menyerlah.

"Apa yang sedang berlaku di JDT adalah satu transisi perubahan daripada pemain-pemain senior ke pemain-pemain muda. Justeru penyokong JDT harus berfikir secara realistik dan bukan secara emosi," kata Hasnizam.

Disiarkan pada: July 9, 2021 @ 12:37pm
d