mutakhir

Polis keluarkan 7 kompaun terhadap majikan langgar SOP PKP

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang Jaya: Tujuh kompaun dikeluarkan terhadap majikan di lima premis di daerah ini selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Operasi Patuh, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata, operasi itu dijalankan di Jalan Bukit Permai Utama Tiga, Taman Industri Bukit Permai dan Kawasan Perindustrian Taman Kencana, di sini, bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari.

"Berdasarkan operasi itu, kami mengeluarkan tujuh kompaun membabitkan masing-masing sebuah premis pembuatan makanan, premis pembuatan kotak makanan, premis pengeluaran makanan, premis makanan serta kilang ais.

"Kesalahan yang dikenal pasti dilakukan adalah pekerja gagal didaftarkan dalam sistem Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan pekerja gagal imbas kod Mysejahtera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam operasi itu, seramai 51 pegawai polis serta 30 pegawai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terbabit dengan tumpuan diberikan di kawasan perindustrian sekitar Bukit Permai dan kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun yang juga pemilik kilang ais berkenaan kerana mengaji pekerja tanpa permit sah.

"Kami turut menahan seorang pekerja lelaki warga asing berusia 44 tahun atas kesalahan mempunyai pasport perjalanan tamat tempoh serta melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Di kilang ais berkenaan juga, pengua kuasa MPAJ bertindak mengeluarkan kompaun langgar syarat lesen dan menutup premis itu daripada beroperasi.

"Tangkapan terhadap pemilik premis dan pekerja berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Ampang, esok bagi permohonan reman.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 15(4) akta sama.

"Tindakan kompaun atas kesalahan pelanggaran SOP PKP pula dikeluarkan mengikut Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021," katanya.

Menurutnya, selain lima premis berkenaan, pihaknya turut memeriksa empat lagi premis di Taman Industri Bukit Permai dan kawasan perindustrian Taman Kencana.

"Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap empat premis berkenaan mendapati kesemuanya mematuhi SOP PKP," katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2021 @ 7:30pm
d