mutakhir

'Nampak seolah-olah picagari kosong kerana jumlah dos yang kecil'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jumlah dos vaksin yang diterima setiap individu dalam kuantiti kecil menyebabkan ia mungkin tidak kelihatan, terutama dilihat melalui rakaman video.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam satu botol bebuli (vial) vaksin seperti Comirnaty, keluaran Pfizer–BioNTech, pihaknya sudah melarutkan vaksin berkenaan.

"Setiap individu menerima 0.3 mililiter (ml) vaksin. Jadi setiap vial itu ada enam dos yang kita boleh keluarkan.

"Apabila kita diberi vaksin, kita juga mengesan kod vial itu. Mungkin 0.3 ml itu sangat kecil jumlahnya dan apabila cucuk (vaksin) tidak nampak," katanya menerusi video dimuat naik di aplikasi Tik Tok Bernama, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat kemungkinan rakaman dalam video itu nampak seolah-olah picagari kosong kerana jumlah dos yang kecil.

"Jumlah vaksin diterima setiap individu adalah 0.3 ml, jadi apabila kita lihat pada jarum (picagari) mungkin tidak nampak.

"Namun, setiap individu yang mendapatkan vaksin daripada vial itu sudah ada barcode (kod bar) yang kita kesan.

"Mungkin dari segi angle (sudut) dalam video itu tidak zoom (zum) menyebabkan tidak nampak vaksin itu," katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2021 @ 11:07pm
d