akademia

Lebih 'bebas' timba ilmu

Oleh Suliati Asri

PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak Mac tahun lalu belum lagi menunjukkan tanda reda dalam masa terdekat.

Namun, kehidupan termasuk aspek pendidikan, perlu diteruskan.

Di peringkat pengajian tinggi, pendidikan bukan hanya tertumpu kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dewan kuliah, bilik tutorial atau makmal semata-mata.

Banyak aspek pembinaan insan, terutama pemerkasaan sahsiah diri dan pemupukan nilai kenegaraan turut diterap dalam diri mahasiswa.

Proses ini kebiasaannya dilaksanakan secara holistik melalui pelbagai aktiviti di dalam dan di luar bilik kuliah.

Dengan perubahan mendadak norma baharu pada era pandemik di mana hampir keseluruhan proses PdP dianjak ke platform maya, apakah proses pembinaan insan akan terbantut?

Bagaimanakah pendekatan yang sesuai bagi memastikan objektif penghasilan graduan yang serba boleh dapat dicapai, biarpun dengan kekangan pertemuan secara bersemuka?

Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, tiada halangan dalam proses pembinaan insan ini jika semua pihak bersikap terbuka dengan perubahan dan kekangan yang ada.

"Tidak timbul isu mahasiswa yang terkurung, hanya disebabkan terpaksa mengikuti kuliah, tutorial, ulang kaji dan peperiksaan secara dalam talian.

"Dengan sambungan internet yang stabil di kampus, mereka sebenarnya lebih 'bebas' untuk menimba ilmu dan meneroka peluang baharu dalam talian," katanya.

Platform pembelajaran dalam talian secara jarak jauh (online distance learning atau ODL) yang berbayar atau percuma, menyediakan pelbagai kursus pendek boleh diikuti mahasiswa pada waktu senggang masing-masing.

"Banyak universiti tersohor di luar negara seperti Harvard, Oxford dan Massachusetts Institute of Technology sudah menjadikan kursus mereka boleh diikuti sesiapa sahaja, lengkap dengan arahan khusus dan soalan ulang kaji.

"UM juga bergerak ke arah ini dan akan mula menawarkan kursus ODL ini secara berperingkat," katanya.

Dr Nahrizul Adib berkata, media sosial juga menawarkan pelbagai kandungan pembelajaran yang bermutu, hanya jika mahasiswa bersungguh-sungguh meluangkan masa dengan mengikuti bahan dari sumber yang diyakini.

"Hampir semua universiti utama dunia, syarikat multinasional daripada pelbagai industri dan individu berpengaruh dalam pelbagai bidang, menghasil dan berkongsi maklumat serta pengetahuan setiap hari di media sosial.

"Jika pandai menyusun kandungan yang ada, mahasiswa sebenarnya mampu mempelajari pelbagai perkara diminati walaupun di luar bidang pengajian mereka.

"Lebih menarik, mereka boleh belajar sehingga peringkat pakar dengan hanya meluangkan masa yang berkualiti di media sosial," katanya.

Selain itu, kata Dr Nahrizul Adib lagi, tempoh pandemik ini juga tidak membataskan mahasiswa untuk terus merancang dan melaksana pelbagai bentuk aktiviti ko-kurikulum bagi pembinaan sahsiah diri.

Semua ini tetap menjadi bekal kepada proses pembinaan insaniah mahasiswa walaupun diterapkan melalui bentuk yang baharu, hasil dari kekangan disebabkan pandemik Covid-19.

"Saya yakin, mahasiswa yang sabar dengan perubahan dan berani mencuba sesuatu yang baharu tetap akan berjaya dalam era pasca pandemik kelak kerana proses pembelajaran mereka tidak terhenti dengan kekangan yang ada ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Sementara itu, pelajar tahun kedua Fakulti Kejuruteraan UM, Ahmad Zharfan Jalil berkata, memang benar ramai mahasiswa berasa terkurung kerana tidak mempunyai kebenaran untuk keluar rumah mahupun kolej berikutan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sehinggakan ada sesetengahnya mengalami tekanan mental.

"Sebagai mahasiswa, kami sepatutnya perlu menyertai pelbagai aktiviti sosial seperti sukarelawan, ekspedisi dan sukan yang memberi manfaat dan pengalaman sangat berharga.

"Namun, disebabkan PKP dan PKPD ini, kami tidak dapat meluaskan pengalaman kerana terkurung dan tidak boleh pergi ke mana-mana," katanya.

Walaupun berasa terkurung, namun mahasiswa perlu bijak untuk menguruskan masa dan aktiviti, sekali gus mengelak dari mengalami tekanan mental.

Ahmad Zharfan berkata, mempunyai hobi yang bermanfaat pada ketika ini sangat membantu untuk mengelakkan diri daripada rasa terkurung.

Pada masa sama katanya, dapat mengekalkan produktiviti sebagai mahasiswa pada tahap maksimum.

"Selain memanfaatkan hobi, dalam keadaan sekarang, mahasiswa boleh mempersiapkan diri dengan mencari ilmu pengetahuan secara dalam talian, sebagai contoh melalui YouTube.

"Mahasiswa juga boleh belajar membuat kandungan ilmiah dan bermanfaat di YouTube atau TikTok kerana dapat memberi manfaat kepada mahasiswa dengan melatih mereka untuk berfikiran kreatif.

"Secara tidak langsung meningkatkan kemahiran insaniah mereka yang amat berguna di alam pekerjaan nanti," katanya.

Berkongsi cara dirinya mengatasi masalah yang dihadapi kebanyakan mahasiswa, kata Ahmad Zharfan, dia memanfaatkan situasi ketika berada di rumah dengan menambah ilmu pengetahuan berkaitan dengan 'FPV drone'.

"FPV drone adalah minat saya. Jadi, tekanan perasaan yang saya hadapi dapat dikurangkan ketika berada di situasi genting ini.

"Keduanya, saya mempelajari ilmu percetakan tiga dimensi (3D) untuk memajukan bisnes saya yang berkait rapat dengan 3D 'printing'," katanya.

"Saya juga membuat isi kandungan berkaitan FPV drone dan 3D printing di YouTube dan Instagram kerana pada pendapat saya, cara ini dapat melatih pemikiran saya untuk lebih kreatif dan inovatif.

"Secara tidak langsung membolehkan saya memperoleh kemahiran asas yang bermanfaat seperti bercakap di hadapan kamera dan meningkatkan keyakinan diri yang sudah pastinya amat diperlukan sebelum menempuh alam pekerjaan nanti," tambahnya.

Sementara itu, bagi pelajar Sarjana Muda Undang-undang, Lim San Shien memang benar mahasiswa sekarang belajar di rumah melalui PdP secara dalam talian, tetapi tidaklah sampai terkurung.

Dia yang juga Presiden Persatuan Pemimpin Muda UM berkata, PdP yang dilaksanakan sekarang hanya pertukaran cara pembelajaran dengan mengambil kira situasi semasa Covid-19, sekali gus mencapai Lonjakan 9 Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) iaitu pembelajaran dalam talian tahap global.

"Pada pendapat saya, PdP adalah satu norma baharu di mana semua mahasiswa perlu membudayakan norma terbabit supaya dapat menimba ilmu dengan berkesan dan efektif.

"Mahasiswa juga perlu menyokong inisiatif PdP ini kerana tidak dapat dinafikan pembelajaran dalam talian juga jadi satu trend pada masa akan datang kerana mudah dan boleh dijalankan di mana-mana sahaja," katanya.

Mengulas lanjut, kata San Shien, mahasiswa perlu bersiap siaga dari segi mental.

"Sebagai mahasiswa, kami perlu optimis dan berfikiran positif dengan menyambut baik PdP sebagai langkah untuk mempersiapkan diri ke arah dunia baru menjelang Revolusi Industri (IR) 4.0 yang akan menjadikan kehidupan semua manusia lebih canggih dan berlandaskan kehadiran teknologi digital seperti IoT (Internet of Things), kecerdasan buatan dan lain-lain.

"Selain itu, mahasiswa juga perlu bersikap lebih proaktif dengan terus berkomunikasi dengan ahli keluarga, pensyarah dan rakan sekiranya mempunyai permasalahan dan isu yang dihadapi dalam proses pembelajaran supaya proses PdP dapat berjalan lancar.

"Di samping itu, mahasiswa turut boleh menghadiri kursus, program dan aktiviti dalam talian yang dianjurkan di luar masa PdP untuk menambah ilmu pengetahuan dalam bidang tertentu dan dapat memupuk kemahiran insaniah," katanya.

Menurut San Shien, dia sudah menganggap Covid-19 sebagai endemik dan cuba biasakan kehidupan dengan wabak ini sehingga negara dapat keluar dari belenggu Covid-19 berlandaskan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Sebagai mahasiswa, saya sedaya upaya akan sentiasa membiasakan diri dengan kaedah pembelajaran sekarang.

"Saya turut menghadiri kursus di luar waktu PdP seperti kursus IR 4.0 dan usahawan muda untuk menambah ilmu dan sebagai langkah persediaan bagi meningkatkan daya persaingan diri untuk pasca pandemik," katanya.

"Saya juga menganjurkan banyak program yang menarik seperti sesi bual bicara dalam talian untuk mengupas isu semasa dan isu belia serta mahasiswa, Karnival Pemimpin Muda UM yang mempunyai pelbagai aktiviti dalam sehari seperti debat, forum perdana dan sesi perbincangan serta pelbagai aktiviti lagi untuk melengkapkan kehidupan mahasiswa dan belia dalam masa pandemik.

"Saya berpendapat anjuran program itu juga dapat memberikan saya pengalaman untuk memimpin satu organisasi dalam masa pandemik dan berkomunikasi secara efektif serta bekerja dalam pasukan untuk menjayakan semua program demi kemaslahatan sejagat," tambahnya.

Disiarkan pada: July 12, 2021 @ 7:00am
d