mutakhir

Sarawak masuk Fasa 2 PPN, Rabu

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Sarawak beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Rabu ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat penilaian risiko dan mengambil kira nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator PPN.

"Sehubungan itu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa Sarawak sudah bersedia untuk beralih ke Fasa 2 PPN mulai jam 12.01 tengah malam, 14 Julai.

"Garis panduan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada masih berkuat kuasa sehingga jam 11.59 malam esok," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, JPBN sudah memuat naik infografik SOP "Pelan Perjalanan Sarawak Menuju Pemulihan: 4 Fasa" bagi memudahkan orang ramai memahami kebenaran serta larangan dari satu fasa ke fasa berikutnya yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh keempat-empat fasa PPN di Sarawak.

"SOP yang terperinci bagi fasa tertentu akan dikeluarkan oleh MKN dan dapat di muat turun dari laman web: https://www.mkn.gov.my," katanya.

Sementara itu, Sarawak terus mencatatkan penurunan kes jangkitan harian Covid-19 dengan 235 kes hari ini.

Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negeri ini sejak tahun lalu kini sebanyak 69,104 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 12, 2021 @ 6:31pm
    d