mutakhir

Siasatan kes rasuah pegawai kanan, tiga anggota polis selesai [METROTV]

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Pegawai kanan dan tiga anggota polis yang direman bagi membantu siasatan kes meminta rasuah RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah dibebaskan dengan jaminan, hari ini.

Lelaki berpangkat Asisten Superintendan (ASP) sebelum ini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Susulan itu, tiga anggota polis turut direman selama empat hari bermula Isnin lalu untuk membantu siasatan kes yang sama.

Mereka masing-masing berpangkat Sarjan berusia 39 tahun, Koperal (34 tahun) dan Lans Koperal (28 tahun).

Pegawai kanan dan tiga anggota itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Penolong Pendaftar Mahkamah, Rusli Ahmad mengeluarkan perintah jaminan itu di Mahkamah Majistret, di sini

Beliau membenarkan pegawai kanan dan tiga anggota itu dibebaskan dengan jaminan SPRM masing-masing sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selepas melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pegawai polis direman pada Jumaat lalu selepas dipercayai menerima suapan daripada pasangan pengedar dadah.

SPRM turut menahan seorang lagi pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan pada Sabtu lalu untuk membantu siasatan kes, manakala tiga anggota polis direman pada Isnin lalu bagi membantu siasatan kes sama.

Disiarkan pada: July 15, 2021 @ 2:15pm
d