mutakhir

Operasi lonjakan kapasiti ke Negeri Sembilan, Perak, Pahang [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Operasi lonjakan kapasiti (Operation Surge Capacity) akan diperluaskan ke kawasan utara Negeri Sembilan, selatan Perak dan barat Pahang, sebagai tindakan segera menangani kenaikan kes positif secara mendadak di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata perkara itu diputuskan jawatankuasa khas operasi lonjakan kapasiti Lembah Klang, sekali gus bagi memastikan lonjakan kes yang berpusat di kawasan ibu negara dapat dikawal.

Katanya, operasi lonjakan kapasiti di Lembah Klang menyasarkan semua penduduk Kuala Lumpur dan Selangor supaya mendapat sekurang-kurangnya dos pertama menjelang awal Ogos ini.

"Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan operasi lonjakan kapasiti diselesaikan segera di Lembah Klang dahulu sebelum ia diperluaskan ke negeri bersempadan atau berhampiran.

"Jawatankuasa khas operasi lonjakan kapasiti Lembah Klang sememangnya menyenaraikan Selangor, Kuala Lumpur, Utara Negeri Sembilan, Selatan Perak dan Barat Pahang, bagi melonjakkan lagi pemberian vaksin sekurang-kurangnya dos pertama sebagai langkah segera menangani peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara kita ketika ini.

"Jawatankuasa Khas akan cadangkan tarikh pelaksanaan operasi lonjakan kapasiti kawasan berkenaan selepas KKM berjaya selesaikan operasi di Kuala Lumpur dan Selangor dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Dewan Muafakat Taman Nusantara, di sini, hari ini.

Disiarkan pada: July 18, 2021 @ 5:56pm
d