bisnes

Pasaran merosot

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pasaran hartanah kediaman di negara ini akan terus 'dalam keadaan pembaikan' di tengah-tengah cabaran yang dibawa oleh pandemik Covid-19, kata firma perunding Knight Frank Malaysia.

Pengarah Urusan Sarkunan Subramaniam berkata, tidak banyak unit yang dibina dan dilancarkan pada separuh pertama tahun ini susulan langkah sekatan yang menangguhkan kerja pembinaan, penyampaian projek termasuk urus niaga hartanah.

Di pasaran sekunder, tiada tontonan hartanah dan tinjauan di lokasi yang dibenarkan sejak Jun lalu.

Pada separuh pertama tahun ini, pasaran kondominium mewah di Kuala Lumpur terus menjalani pembetulan harga berikutan kejatuhan dalam permintaan dan kenaikan inventori, baik yang sedia ada atau yang baru dibina.

Begitu juga, dalam pasaran yang diterajui penyewa, sewa kekal di bawah tekanan disebabkan permintaan pajakan yang lebih lemah.

"Memandang ke hadapan, masih terdapat peluang berdasarkan kepada usaha vaksinasi yang dipercepatkan bagi membolehkan pembukaan semula sektor ekonomi secara beransur-ansur di bawah Pelan Pemulihan Negara," katanya dalam kenyataan.

Penyambungan semula dan permulaan pembangunan mega yang baharu, disokong oleh infrastruktur yang lebih baik akan merancakkan aktiviti ekonomi selain membantu memulihkan pasaran hartanah.

Timbalan Pengarah Urusan Perunding Hartanah, Keith Ooi, melihat permintaan mampu meningkat di pasaran perumahan, dibuktikan oleh pemulihan dalam aktiviti pasaran apabila Perintah Sekatan Pergerakan (PKP) ditarik balik buat sementara waktu.

Kempen pemilikan rumah (HOC) berjaya mengurangkan harta tanah siap dibina, tetapi tidak terjual dengan anggaran 34,354 unit kediaman yang dijual, bernilai RM25.65 bilion, dari 1 Jun 2020 hingga 28 Februari 2021.

"Untuk baki 2021, kami percaya minat keseluruhan dalam sektor kediaman mungkin kekal tertangguh sehingga krisis kesihatan semasa menjadi lebih terkawal," kata Ooi.

"Ekonomi masih dalam fasa kemelesetan dan keyakinan pasaran dijangka kembali secara beransur-ansur menjelang awal 2022 disebabkan pembeli dan pembiaya yang optimistik, tetapi berhati-hati.

"Pasaran hartanah secara meluas dijangka mula pulih di belakang prospek yang lebih positif, berikutan proses vaksinasi yang mula melaju termasuk kepentingan yang kukuh daripada pelabur domestik yang beralih daripada pasaran saham kepada produk pelaburan alternatif yang lebih selamat dan stabil," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2021 @ 11:17am
d