mutakhir

Terima rasuah daripada kontraktor, dua bekas YDP Majlis Perbandaran direman

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Tiga individu ditahan reman enam hari termasuk dua bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran di Selangor kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman sehingga 28 Julai ini selepas mendengar permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Putrajaya, hari ini.

Sumber berkata, kedua-dua bekas YDP yang berusia 47 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM ketika hadir memberikan keterangan semalam.

Katanya, selain itu turut ditahan ialah seorang kontraktor yang memberi rasuah bagi membolot projek ditawarkan di dua majlis perbandaran diketuai oleh dua YDP berkenaan.

"YDP terbabit kini memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah (DO), manakala kontraktor berusia 42 tahun itu sebelum ini dipercayai mengawal 16 syarikat yang didaftarkan atas nama saudara dan pekerjanya bagi mendapatkan projek di dua Majlis Perbandaran berkenaan dianggarkan mencecah jutaan ringgit sejak empat tahun lalu.

"Bagi setiap projek yang diperolehi, kedua-dua bekas YDP ini akan menerima habuan rasuah lima peratus daripada nilai projek. Dua bekas YDP ini juga turut menerima pelbagai bentuk suapan rasuah termasuk sebuah rumah bernilai RM1 juta, wang tunai berjumlah RM500,000 dan pakej pelancongan ke Eropah bagi meluluskan kebenaran merancang dan pembangunan milik sebuah syarikat pemaju perumahan," katanya.

Berikutan itu, sumber berkata pihak SPRM sudah membuat beberapa siri serbuan di sekitar Selangor sejak semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan berkenaan dan enggan mengulas lanjut.

Disiarkan pada: July 23, 2021 @ 1:18pm
d