mutakhir

Tindakan tegas terhadap pegawai, anggota polis langgar peraturan [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai dan anggota polis yang melanggar peraturan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) atau peraturan lain bukan hanya terpakai pada rakyat sahaja.

"Kalau kita sudah memberikan amanah kepada (pegawai) polis dan mereka melanggarnya, pada saya individu seperti ini tidak harus ada dalam pasukan.

"Saya juga sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani) supaya tindakan tegas diambil terhadap pegawai-pegawai seperti ini," katanya ketika ditemui selepas mengetuai Ops Patuh di Mont Kiara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz @Yazid.

Mengulas berhubung pematuhan SOP, Hamzah berkata, SOP bukan hanya ditetapkan kepada rakyat sahaja kerana tindakan turut diambil di semua peringkat.

"Sebab itu kalau kita perhatikan, semua mereka kita kompaun dan ramai menteri-menteri juga kita kompaun.

"Disiplin adalah kepada semua, semua peringkat kalau melakukan kesalahan kita mesti kompaun mereka," katanya.

Rabu lalu, media melaporkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIPS) Bukit Aman menahan seorang ketua balai polis bersama tiga anggotanya yang berhibur bersama empat wanita yang juga orang awam di sebuah balai polis di Selangor.

Ketua balai polis berpangkat sub inspektor bersama dua anggotanya berpangkat koperal dan seorang koperal sokongan ditahan selepas menjadikan sebuah bilik di balai polis itu seperti disko dengan lampu berputar turut dipasang di dalamnya.

Polis turut merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan televisyen.

Disiarkan pada: July 23, 2021 @ 6:15pm
d