Badminton

Beregu lelaki langkah kanan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memberi khabar gembira kepada kem negara apabila mencatatkan kemenangan ketika berdepan pasangan Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae, dalam saingan Kumpulan D, sebentar tadi.

Kemenangan straight set 24-22 21-15 itu jelas meniup semangat kepada pemain lain selepas beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Meng Yean tewas pada perlawanan pertama dalam aksi Kumpulan A.

Walaupun Solgyiu-Seungjae mempunyai kedudukan ranking yang lebih baik berbanding mereka iaitu di kedudukan kelapan dunia manakala mereka ketinggalan satu tangga di belakang, namun ia bukanlah ukuran sebenar dengan masing-masing cemerlang mengekalkan rentak dalam misi memburu kemenangan.

Dalam aksi set pertama Aaron Chia-Soh Wooi Yik nyata terpaksa berhempas pulas apabila diberi tentangan sengit pasangan Korea Selatan itu sebelum menewaskan mereka 24-22.

Namun, pada set kedua pula, pasangan beregu negara itu nyata lebih tenang dan berjaya menguasai perlawanan dengan menyekat setiap kemaraan lawan.

Aaron-Wooi Yik yang muncul naib juara Seluruh England 2019 mengakhiri set kedua dengan penuh bergaya menerusi keputusan 21-15.

Kemenangan itu petanda positif kepada mereka yang akan menentang beregu nombor dua dunia dari Indonesia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan dan beregu Kanada, Jason Anthony Ho-Nyi Yakura dalam saingan Kumpulan D.

Disiarkan pada: July 24, 2021 @ 6:34pm
d