Bola Sepak

QPR malukan Man United

Oleh Agensi

London: Manchester United berdepan kekalahan memalukan pada perlawanan persahabatan pra musim kedua apabila tewas 2-4 di Queens Park Rangers.

Jesse Lingard meletakkan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer di depan dekat Loftus Road namun tiga gol dalam tempoh enam minit di awal separuh masa kedua memastikan kemenangan selesa untuk tuan rumah.

Solskjaer yang menyambung kontrak baharu selama tiga tahun sebelum sepak mula, membariskan pasukan terkuat dengan Tom Heaton, Aaron Wan-Bissaka, Brandon Williams, Axel Tuanzebe, Andreas Pereira, Nemanja Matic, Daniel James, Mason Greenwood dan Lingard membarisi kesebelasan utama.

Lingard yang mempamer aksi cemerlang ketika mencatatkan kemenangan di Derby County, menjaringkan gol seawal minit ke-3.

United bagaimanapun gagal mempertahankan kedudukan itu selepas tandukan Charlie Austin menyamakan kedudukan untuk QPR berpunca daripada hantaran Lee Wallace.

Kedua-dua pasukan seri 1-1 selepas berakhir babak pertama namun kemudiannya QPR pantas di depan dengan jaringan 4-1

Lyndon Dykes meletakkan pasukan Liga Kejuaraan itu di depan minit ke-53 sebelum lima minit kemudian Moses Adubajo menjadikan kedudukan 3-1 dan Dykes menambah gol keempat minit ke-59.

United memperoleh gol kedua menerusi pemain remajanya, Anthony Elanga minit ke-73 untuk kedudukan muktamad QPR menewaskan United 4-2.

Skuad bimbingan Solskjaer akan meneruskan persediaan untuk musim baharu dengan bertemu Brentford di halaman sendiri, Rabu ini.

Disiarkan pada: July 25, 2021 @ 9:42am
d