Sukan Lain

Horigome gantung pingat emas di permainan Pokemon

Oleh AFP

Tokyo: Atlet papan selaju Jepun, Yuto Horigome berkata dia akan menggantungkan pingat emas di mainan Pokemon selepas gerakan luar biasa yang dilakukan membolehkannya menjadi juara pertama sukan berkenaan di Olimpik.

Horigome bergelut selepas dua percubaan buruk dalam saingan akhir papan selaju acara street namun dia berjaya melakukan gerakan maut, termasuk nollie backside 270 railslide di mana dia tidak pernah melakukannya di mana-mana kejohanan sebelum ini.

Dia berjaya memperoleh 9.50 mata di atas gerakan berkenaan, iaitu pungutan paling tinggi di pentas final, untuk mengetepikan Kelvin Hoefler dari Brazil serta Jagger Eaton (Amerika Syarikat).

Seorang lagi bintang papan selaju dari Amerika Syarikat (AS), Nyjah Huston berada di kedudukan ketujuh.

"Ia kali pertama saya lakukan tidak pernah terjadi di mana-mana kejohanan sebelum ini. Saya mula berlatih melakukan gerakan ini sebelum saingan akhir, saya tidak mencuba di mana-mana pentas akhir.

"Saya sangat gementar tapi gembira apabila berjaya melakukannya," kata atlet berusia 22 tahun itu.

Setiap atlet dibenarkan untuk memperagakan gerakan selama 45 saat dan hanya dibenarkan melakukan sebanyak tujuh kali.

Empat mata terbaik daripada tujuh percubaan itu akan dicampur untuk mendapat keputusan muktamad.

Dia yang membesar berhampiran dengan gelanggang Olimpik itu namun sekarang berpangkalan di AS akan menggantung pingat berkenaan di permainan Pokemon miliknya.

"Pertama sekali saya akan menunjukkan pingat ini kepada keluarga dan rakan-rakan yang menyokong saya.

"Selepas itu saya akan menyimpannya di rumah. Saya mempunyai pingat lain di permainan Pokemon saya, jadi yang ini juga saya akan kalungkan di situ," katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2021 @ 7:16pm
d