mutakhir

Padah miliki besi buku lima

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Tukang sapu dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan memiliki senjata berbahaya, besi buku lima.

Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh Wan Mohd Fikri Wan Muda, 34, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 7 (1) (a) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki besi buku lima yang disenaraikan sebagai senjata berjadual di dalam Jadual Kedua Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 tanpa kebenaran sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan bangunan sebuah bank di Dungun, jam 4.15 petang, Rabu lalu.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: July 26, 2021 @ 7:40pm
d