mutakhir

Mereka baru pulang selepas jalani ujian saringan Covid-19 [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Pendang: Polis mengesahkan dua lelaki yang menunggang motosikal dengan memakai gelang pengawasan merah jambu di tempat awam yang tular hari ini, baru pulang dari menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, video berdurasi 22 saat itu dimuat naik di Facebook pada 5 petang hari ini.

Beliau berkata, video itu memapar dua individu terbabit sedang menunggang motosikal dengan memakai gelang pengawasan merah jambu.

"Siasatan mendapati penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan adalah kontak rapat kes positif Covid-19 dan diarah oleh Pejabat Kesihatan Daerah Pendang untuk hadir jalani ujian Covid-19 hari ini.

"Selepas selesai menjalani ujian saringan berkenaan, dua individu terbabit dipakaikan gelang pengawasan merah jambu untuk kuarantin kendiri," katanya.

Arriz Sham berkata, video itu dirakam ketika dua individu berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah untuk kuarantin kendiri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 27, 2021 @ 10:40pm
    d