WM

Peluang membanggakan

Oleh Hafiz Ithnin

JUMAAT lalu, kontinjen Malaysia menjadi perhatian pada sesi perbarisan pembukaan Olimpik 2021 di Tokyo kerana menonjolkan pakaian yang mempunyai aura tersendiri.

Sehinggakan ketika pengumuman kemasukan atlet negara di gelanggang perbarisan, pengacara menyebut, 'Malaysia most vibrant theme uniform you can see.'

Sebenarnya ketika penulis berpeluang menemu bual pereka busana berkenaan, ternyata pembuatannya bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi, ia bakal menjadi perhatian dunia.

Selepas Majlis Sukan Negara (MSN) melantik Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Pusat Daya Cipta (PDC),Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM,Khairulazlan Abd Karim diberi amanah untuk menyiapkannya dalam tema baju kebangsaan.

"Hanya dalam tempoh dua minggu dan bekerja setiap hari lebih 10 jam bersama enam pembantu bukan sesuatu perkara yang boleh saya lupakan.

"Sebelum mula menjahit, kami perlu melakukan pelbagai peringkat pembentangan idea dan kajian mengenai konsep serta tekstil yang akan digunakan. Semuanya perlu dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Apatah lagi, cabaran bekerja ketika pandemik Covid-19," kata Khairulazlan kepada penulis.

Khairulazlan berkata, pada awalnya dia membentangkan enam pasangan (lelaki dan perempuan) rekaan busana kepada MSN yang bertemakan Hang Tuah dan srikandi kerana ia begitu sinonim dengan kepahlawanan negara yang tersohor sehingga kini.

"Untuk menyiapkan enam pasangan itu, saya hanya diberi masa hanya tiga hari sahaja termasuk membentangkan mengenai jenis tekstil yang akan digunakan kepada MSN.

"Menyiapkan konsep awal juga bukan mudah kerana ia perlu melalui pembangunan kajian berkaitan fabrik, warna, praktikal dan logistik," katanya.

Kata Khairulazlan, akhirnya mereka memuktamadkan untuk si pemakai lelaki, busana tradisional yang disarungkan Hang Tuah iaitu Baju Melayu Teluk Belanga, bengkung, samping, baju muskat dan tanjak. Manakala, wanita adalah baju kurung Pahang yang dikalungkan dokoh.

"Saya memberi sentuhan baharu dengan menjadikannya lebih praktikal dan sesuai dengan konsep yang ingin diangkat. Namun, masih mengekal beberapa ciri-ciri aslinya.

"Misalnya, atlet wanita memakai busana baju kurung Pahang tidak ada jaket tetapi disebabkan kita perlu ambil kira mengenai fabrik asas warna putih yang dipakai mungkin akan kelihatan jarang apabila terkena lampu sorot, jadi helaian seperti jaket perlu ada sebagai lapisan kedua," katanya.

Jelasnya, selepas mendapat konsep, dia perlu fikir mengenai fabrik yang digunakan mestilah tidak mudah berkedut dan mampu menonjolkan warna yang dicetak di atasnya.

"Si pemakai bukan dalam kalangan peragawan. Itu yang bermain dalam di fikiran kerana jika untuk menyarungnya sukar, tidak selesa, maka busana itu sudah semestinya tidak praktikal untuk seorang atlet.

"Justeru, bengkung, samping dan tengkolok yang dipadankan kepada lelaki jenis siap dipasang supaya tidak mengambil masa lama untuk bersiap dan tidak akan tertanggal," katanya.

Tambahnya, setiap set busana lelaki dan perempuan juga tidak boleh terlalu berat dan dia memastikan hanya kurang 3 kilogram (kg).

Ditanya mengenai cabaran lain, katanya, mereka tidak berjumpa langsung dengan kumpulan atlet berkenaan untuk tujuan acu padan dan hanya sempat berjumpa sekali sahaja untuk mengambil ukuran sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) dilaksanakan.

"Bekerja dalam pandemik ini agak sukar kerana kita tidak boleh berjumpa atlet sesuka hati dan saya perlu menggunakan pihak pengurusan MSN sebagai pengantara untuk acu padan pakaian yang sudah disiapkan.

"Sesi acu padan ini penting supaya kita dapat mengetahui baju yang sudah disiapkan itu sama ada terletak atau tidak kepada si pemakai.

"Syukur dengan bantuan pihak pengurusan MSN, segala-galanya berjalan dengan baik walaupun hanya dua minggu kami menyiapkannya," katanya.

Mengenai kritikan negatif, Khairulazlan berkata, rekaan fesyen adalah sesuatu yang subjektif dan pandangan negatif adalah perkara biasa tetapi perlu diambil kira.

"Saya bersifat terbuka dan dalam busana ini, perkara paling penting ialah mengangkat tema wira atlet negara di mata dunia dan menonjolkan identiti Malaysia dengan nafas baharu," katanya mengakhiri temubual.

Disiarkan pada: July 28, 2021 @ 7:00am
d