mutakhir

Kes pertama varian Delta di Terengganu dikesan Ahad lalu

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Terengganu mengesan kes pertama varian Delta yang disahkan positif Ahad lalu.

Berikutan perkembangan itu, kerajaan negeri masih menunggu keputusan ujian genom bagi menentukan beberapa jenis varian yang menular di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, rakyat di negeri ini diminta sentiasa berwaspada dan mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, varian Delta boleh berjangkit melalui udara dalam tempoh lima saat jika pertemuan dengan penghidap virus berkenaan.

"Penularan dan perebakan virus itu boleh menjangkiti orang lain melalui udara walaupun pertemuan hanya dalam masa lima saat.

"Varian Delta boleh berjangkit melalui udara berbanding varian lain yang hanya boleh dijangkiti melalui titisan air liur," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Bukit Tunggal berkata, penduduk diminta melakukan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya tiga meter (m) berbanding hanya satu m susulan varian berkenaan boleh menjangkiti melalui bahagian muka, termasuk hidung, mulut dan mata, walaupun memakai pelitup hidung dan mulut.

"Jika seluruh masyarakat di negeri ini mengutamakan pematuhan SOP dan tidak keluar rumah sekiranya tiada urusan penting, penularan varian berkenaan mampu diputuskan," katanya.

Mengulas mengenai kes positif Covid-19 di negeri ini, Dr Alias berkata, sebanyak 490 kes baharu dan 2,357 kes masih dalam rawatan serta satu kes kematian harian dilaporkan semalam.

Katanya, Kemaman mencatatkan kes tertinggi apabila sebanyak 179 kes baharu dilaporkan disusuli Dungun (148), Kuala Terengganu (56), Hulu Terengganu (33), Kuala Nerus (29), Setiu (19), Marang (15) dan Besut (11).

"Satu kluster baharu iaitu kluster Taman Selesa, Dungun, turut direkodkan semalam.

"Kluster itu adalah kluster komuniti hasil saringan dilakukan dan sehingga semalam seramai 532 individu sudah menjalani saringan dengan 65 orang disahkan positif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 29, 2021 @ 9:57am
    d