Badminton

Tekanan Olimpik lain macam - Zii Jia

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pentas Olimpik memberi pengajaran bermakna buat pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia untuk mempertingkatkan lagi kualiti persembahan seterusnya tampil lebih hebat pada temasya akan datang.

Zii Jia berkata, pentas Olimpik memberi tekanan yang agak hebat buat dirinya hingga hampir hilang kawalan terutama Ketika bertemu pemain handalan dunia.

Katanya, perkara utama sekarang ini adalah perbaiki kelemahan yang ada menerusi penyertaan kejohanan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

"Ini adalah Olimpik yang pertama saya dan cuba dapatkan keputusan terbaik namun ada perlawanan kurang bagus sekali gus perlu pertingkatkan lagi.

"Saya rasa memang Olimpik ini agak lain…tekanan memang lain dan ada masa tidak boleh untuk kawal.

"Satu pengalaman yang bagus dan akan belajar serta berlatih lagi lepas habis Olimpik ini dan menyertai pertandingan untuk pertingkatkan lagi kemahiran," katanya.

Terdahulu, perjuangan Zii Jia di Temasya Olimpik Tokyo berakhir apabila dia tewas kepada lawannya dalam pusingan 16 terbaik, semalam.

Sudah hampir setahun tidak bertemu jelas sekali pemain perseorangan China Chen Long bukan lawan mudah buat Zii Jia apabila dia terpaksa akur menerusi keputusan 21-8,19-21,5-21 di Musashino Forest Sport Plaza.

Mengikut rekod, sebelum ini, Zii Jia tidak berdepan masalah besar pada perlawanan pertama kumpulan M apabila berjaya menundukkan pemain Ukraine, Artem Pochtarov 21-5, 21-11.

Zii Jia turut beraksi cemerlang ke pusingan kalah mati selepas menewaskan pemain Perancis Brice Leverdez yang berada di ranking ke-36 dunia dengan straight set 21-17,21-5.

Disiarkan pada: July 30, 2021 @ 11:35am
d