Bola Sepak

Hatrik Mir pastikan Sepanyol mara ke separuh akhir

Oleh AFP

Miyagi, Jepun: Jaringan hatrik pemain gantian, Rafa Mir memastikan Sepanyol menewaskan Ivory Coast, 5-2 pada masa tambahan di suku akhir bola sepak lelaki Tokyo 2020, hari ini.

Sepanyol muncul antara pasukan pilihan menang pingat emas selepas membariskan pasukan kuat termasuk enam pemain yang melangkah ke separuh akhir Euro 2020.

Bagaimanapun, mereka terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya melangkah ke separuh akhir, walaupun keputusan perlawanan mencadangkan sebaliknya.

Ketika perlawanan masa sebenar hampir tamat, Sepanyol di ambang penyingkiran apabila penyerang Ivory Coast, Max Gradel menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-91.

Bagaimanapun, Sepanyol segera membalas apabila Mir yang jyga penyerang Wolves, menjaringkan gol penyamaan selepas seminit dimasukkan dan mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Pemain pertahanan Manchester United, Eric Bailly kemudian menghadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan menerusi penelitian VAR dan Mikel Oyarzabal menjadikan kedudukan 3-2 pada minit ke-98.

Mir kemudian menjaringkan dua lagi gol untuk memastikan Sepanyol menang 5-2.

Disiarkan pada: July 31, 2021 @ 10:08pm
d