mutakhir

SPRM jangka tahan lagi individu, kes pindah hak milik tanah tak sah

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka menahan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes pindah hak milik tanah tidak sah di negeri ini.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya sedang berusaha mendapatkan petunjuk baharu.

"Setakat ini belum ada tangkapan, kita berkemungkinan akan menahan beberapa individu tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan lima individu termasuk tiga kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah di Kedah berusia 48 hingga 57 tahun direman lima hari bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Mereka ditahan kerana disyaki menerima rasuah daripada seorang pemilik tanah sebagai balasan mendaftarkan 41 nama pemilik lain ke dalam hak milik tanah tanpa melalui urusan pindah milik tanah.

Kelima-lima mereka ditahan antara 8.20 pagi hingga 4.20 petang kelmarin di beberapa lokasi sekitar Alor Setar, Pendang dan Langkawi.

Disiarkan pada: August 3, 2021 @ 5:04pm
d