Bola Sepak

KL City FC bertandang ke Sabah tanpa penyerang

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Biarpun terbang ke Kota Kinabalu tanpa penyerang, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) yang juga dalam misi mencari kemenangan sulung di laman lawan, kekal tenang bagi menghadapi Sabah di Stadium Likas, malam esok.

Pengendalinya, Bojan Hodak berkata, situasi itu bukanlah sesuatu yang asing buat KL City FC yang selama ini pernah berdepan situasi sama apabila mereka pernah kehilangan Dominique da Slyva selepas empat perlawanan.

Kali ini, penyerang import baharu, Kyrian Nwabueze pula dilanda kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang memaksa Hodak meletakkan kembali Romel Morales di posisi serangan.

Situasi itu bertambah buruk apabila penyerang berpengalaman, Safee Sali mengalami demam denggi manakala pemain muda, Alif Safwan Mohd Sallahuddin dilihat belum bersedia.

"Sudah dua perlawanan kami turun tanpa penyerang, tetapi tetap bermain dengan baik berbanding perlawanan sebelum ini.

"Inilah bola sepak, ada kalanya nasib akan baik atau buruk, itulah yang terjadi kepada kami apabila semua pemain di posisi lain tidak pernah cedera serius, namun berbeza di posisi penyerang apabila kali kedua kami kehilangan pemain.

"Memang kami tidak jangka situasi ini akan terjadi dan bertambah buruk, perancangan saya untuk turunkan Safee untuk aksi dengan Sabah tidak dapat jadi kenyataan kerana mendapat demam denggi manakala Alif Safwan yang baharu bersama kita saya rasa belum bersedia untuk diturunkan.

"Jadi, seperti biasa saya akan mempertaruhkan Romel Morales sebagai penyerang utama, namun situasi ini bukanlah sesuatu yang janggal kepada kami kerana pernah mengharunginya sejak ketiadaan Dominique, " katanya.

KL City FC yang menduduki tangga keenam Liga Super meraih tiga keputusan seri berturut-turut sejak Liga Malaysia kembali bersambung pada 24 Julai lalu termasuk perlawanan terakhir menyaksikan mereka seri 1-1 dengan Melaka United di laman sendiri.

Selepas lapan perlawanan di tempat lawan, KL City masih belum mampu menang apabila sekadar meraih empat keputusan seri dan empat kekalahan.

Bagaimanapun, Hodak tetap berasakan peningkatan sudah banyak dipamerkan pasukan cuma berasakan tuah tidak berpihak kepada skuad Warga Kota untuk meraih kemenangan.

"Sememangnya saya sedar kami belum pernah menang di laman lawan setakat ini, tetapi apa yang lebih diutamakan adalah permainan kami sendiri kerana saya percaya keputusan akan datang jika kami bermain baik.

"Selain itu, jangan lupa kedudukan kami di tangga keenam iaitu satu pencapaian terbaik buat Kuala Lumpur sejak Liga Super diperkenalkan 25 tahun lalu.

"Jadi, saya rasa tidak tertekan dengan situasi ini kerana sejak awal menetapkan sasaran untuk kekal di Liga Super dan kami hanya memerlukan beberapa mata sahaja lagi untuk berbuat demikian, " katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2021 @ 6:50pm
d