mutakhir

'Cyborg' pun dah suntik vaksin dos kedua

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Seorang pemuda dari Kampung Gong Pok Jin mencuri tumpuan ramai apabila mengenakan kostum Cyborg ketika hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), semalam.

Muhammad Mokhtar, 23, tiba di PPV pada jam 3.40 petang sebelum menerima suntikan vaksin Sinovac pada jam 4 petang.

Katanya, dia memang sudah berniat untuk membuat kelainan ketika hadir ke PPV bagi menerima suntikan vaksin dos keduanya itu.

"Selain menjadikan ia sebagai kenangan, inisiatif memakai kostum itu juga ialah untuk menghiburkan petugas barisan hadapan yang seharian bertugas di PPV.

"Perlu untuk menghiburkan mereka dengan gelagat seperti itu supaya suasana di PPV ceria dan tidak membosankan.

"Inisiatif saya mengenakan kostum juga dapat menceriakan penerima vaksin lain yang rata-rata berdebar untuk menerima vaksin," katanya.

Tambahnya, dia menerima suntikan vaksin pertama pada 13 Julai lalu namun tidak mengenakan kostum itu.

"Saya mencipta dan menyiapkan sendiri kostum Cyborg ini menggunakan barangan terpakai dan plastik. Ia disiapkan dalam tempoh setahun.

"Ramai penerima vaksin yang merakam gambar dan ia memberi kepuasan kepada saya," katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2021 @ 9:49am
d