Bola Sepak

Sabah gagal ubah nasib di laman sendiri

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Sabah Football Club (FC) sekali lagi gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur (KL) City FC, di Stadium Likas, sebentar tadi.

Aksi awal separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah lebih banyak menguasai bola namun serangan dilancarkan gagal memecahkan benteng KL City FC.

Pada minit ke-16, Amri Yahya berjaya menghidu kesilapan pertahanan lawan, Daniel Sang Ting yang gagal menyepak kemas bola, namun cubaan Amri selepas itu terus ke dakapan penjaga gol.

Seminit kemudian, KL City FC berjaya menggegarkan jaring Sabah FC menerusi Zhafri Yahya namun jaringannya tidak dibenarkan kerana ofsaid.

Pada minit ke-21, KL City FC mendahului pasukan tuan rumah 1-0 hasil jaringan sendiri Randy Baruh Samson yang tertampan bola ke gawang selepas cuba menghalang lawan daripada melakukan cubaan.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Badak menggandakan usaha mereka untuk menyamakan kedudukan dan hampir memperoleh gol menerusi Amri yang menerima hantaran cantik Saddil Ramdani, namun cubaannya diselamatkan penjaga gol dalam keadaan satu lawan satu.

Pada babak kedua, gawang Sabah FC bergegar lagi hasil sepakan percuma Paulo Josue Dos Reis pada minit ke-59 namun nasib sekali lagi tidak menyebelahi KL City FC apabila jaringan itu dibatalkan pengadil kerana salah seorang pemain mereka dikesan ofsaid.

Seminit kemudian, pemain gantian, Maxsius Musa hampir menyamakan kedudukan buat tuan rumah namun tandukannya sedikit tinggi walaupun dia tidak dikawal.

Gol yang dicari-cari Sabah FC akhirnya tiba pada minit ke-64, hasil sepakan percuma Levy Madinda yang melencong dan terus menerjah jaring untuk mengikat kedudukan 1-1.

Keputusan seri itu adalah ketiga berturut-turut dicatatkan Sabah selepas mencatat keputusan 2-2 dengan Pahang, di sini, dan seri tanpa jaringan dengan Terengganu FC di Gong Badak.

Disiarkan pada: August 4, 2021 @ 11:24pm
d