Sukan Lain

Alhamdulillah, tulang rusuk Shah Firdaus tak patah

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Khabar gembira diperoleh dari bumi Tokyo apabila pelumba basikal trek negara, Muhamad Shah Firdaus Sahrom dalam keadaan stabil dan tidak mengalami patah tulang rusuk seperti dirisaukan sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang berada di Hospital Juntendo Universiti Shizuoka untuk mengetahui perkembangan terkini pelumba negara itu.

Reezal berkata, keadaan Shah Firdaus akan dipantau dari masa ke semasa oleh doktor pakar dan dia akan menjalani pemeriksaan lanjutan untuk memastikan keadaannya.

"Alhamdulillah, saya dimaklumkan oleh doktor yang membuat pemeriksaan, Shah Firdaus dalam keadaan stabil. Tak ada yang dikatakan patah tulang rusuk sebagaimana dilaporkan.

"Shah cuma mengalami dehidrasi dan akan melalui pemeriksaan lanjutan oleh pakar kita yang akan menentukan kedudukan terkini Shah Firdaus," katanya.

Reezal yang berada di Velodrom Izu turut menyaksikan impak kemalangan di saringan kedua acara keirin itu dan beliau memuji semangat Shah Firdaus yang masih meminta untuk beraksi biarpun dalam keadaan sakit.

"Saya menyaksikan pelanggaran itu dan impaknya begitu serius. Tapi nampak kesungguhan Shah Firdaus bangkit dalam repecharge untuk dia mara ke suku akhir.

"Dalam ambulans pun dia masih lagi meminta untuk bertanding. Apapun keselamatan dan keadaan kesihatannya adalah keutamaan," katanya.

Begitupun hingga kini masih belum ada sebarang perkhabaran sama ada pelumba berusia 25 tahun negara itu akan turun beraksi di suku akhir esok pagi.

Reezal menegaskan, segala keputusan terletak di tangan jurulatih, John Beasley dan Shah Firdaus sendiri dan beliau memohon doa dari seluruh rakyat Malaysia untuk kejayaan mereka untuk membawa pulang emas pertama negara.

Disiarkan pada: August 7, 2021 @ 7:38pm
d