Sukan Lain

Selamat tinggal Olimpik Tokyo 2020

Oleh AFP

Tokyo: Sukan Olimpik Tokyo 2020 ditutup oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, hari ini, sekali gus mengakhiri temasya paling mencabar yang tertangguh setahun akibat pandemik Covid-19 dan nyaris dibatalkan.

Dalam ucapannya di Stadium Olimpik Tokyo yang mampu memuatkan 68,000 orang, Bach menyifatkan Tokyo 2020 sebagai Sukan Olimpik belum pernah terjadi sebelum ini pada ketika penonton tidak dapat hadir kerana sekatan berkaitan wabak itu.

"Dalam tempoh sukar seperti ini, kita teruskan hidup bersama, memberikan dunia hadiah amat berharga iaitu harapan," katanya kepada atlet ketika majlis penutupan itu.

"Kini, saya menandakan berakhirnya Sukan Olimpik paling mencabar di Tokyo: Saya mengisytiharkan Sukan Olimpik ke-32 ditutup," katanya.

Tokyo 2020 menjadi sejarah temasya Olimpik luar biasa apabila hampir semua acara berlangsung di gelanggang tanpa kehadiran penonton dan hanya membabitkan kehadiran atlet, pegawai pasukan dan wakil media.

Atlet terpaksa hidup dalam langkah pencegahan dan kawalan ketan dengan penjarakan fizikal di Perkampungan Sukan Olimpik dan arahan memakai pelitup muka kecuali ketika makan, tidur, berlatih atau bertanding.

Bach turut menjelaskan IOC pernah menimbangkan untuk membatalkan Tokyo 2020 dan menuntut ganti rugi daripada syarikat insurans, tetapi pegawai bertegas mahu meneruskannya demi atlet.

"Ada yang menganggapnya sebagai 'Sukan Olimpik Berhantu'," katanya dalam sesi mesyuarat IOC.

"Apa yang kami lihat di sini adalah jiwa yang dibawa atlet untuk menghidupkan Sukan Olimpik."

Bendera Sukan Olimpik kemudian diserahkan kepada Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo yang akan menjadi tuan rumah Paris 2024.

Hari ini yang juga kemuncak sukan terbesar sejak pandemik, pelari Kenya, Eliud Kipchoge menang acara maraton lelaki manakala Amerika Syarikat (AS) memintas China untuk mengungguli carta pungutan pingat.

AS memenangi emas acara bola tampar, berbasikal trek dan bola keranjang untuk mengumpul 39 emas, hanya satu emas as mengatasi China.

Tuan rumah, Jepun mengumpul 27 emas untuk menduduki tempat ketiga manakala Britain di tempat keempat dengan 22 emas.

Disiarkan pada: August 8, 2021 @ 9:50pm
d