mutakhir

Remaja 17 tahun dapat tawaran pengajian luar negara boleh mohon vaksin

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Kumpulan remaja berusia 17 tahun yang dapat menyambung pelajaran ke luar negara boleh memohon suntikan vaksin dengan kebenaran ibu bapa.

Timbalan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, bagaimanapun, pihaknya kini sedang menunggu dapatan klinikal yang lebih jelas berhubung suntikan vaksin terhadap kumpulan terbabit termasuk remaja berusia 12 ke atas.

"Remaja yang berkeperluan sebagai contoh menyambung pelajaran ke luar negara, mereka boleh memohon suntikan vaksin dengan kebenaran ibu bapa dan ia akan dipertimbangkan," katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau proses pembaikan paip air dasar sungai oleh Syarikat Air Terengganu (Satu) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Helmi Mohamed @ Harun, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), Ir Azrul Raimee Ramli.

Mengenai pengambilan vaksin secara 'walk-in' di negeri-negeri lain, beliau berkata, ia akan dibuka apabila proses vaksinasi di Lembah Klang mencapai tahap yang memuaskan.

Menurutnya, proses vaksinasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi populasi dewasa yang menerima satu dos vaksin kini sudah mencapai angka 64 peratus di seluruh negara, manakala sebanyak 30 peratus daripada populasi dewasa sudah lengkap dos kedua.

"Saya dapati, perjalanan program vaksinasi ini berlangsung lebih laju daripada jangkaan yang ditetapkan sebelum ini.

"Namun, kita masih lagi mengekalkan sasaran mencukupkan 80 peratus populasi dewasa untuk dua dos lengkap, sebelum Oktober ini.

"Bagi operasi lonjakan kapasiti Lembah Klang yang menjadi keutamaan kita ketika ini, kita telah dapat hampir 100 peratus suntikan satu dos untuk populasi dewasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 9, 2021 @ 8:48am
    d