mutakhir

Adun Gual Ipoh letak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kesedar [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha umum letak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar, berkuat kuasa serta merta.

Peletakan jawatan itu susulan keputusan Umno menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohd Bakri berkata, peletakan jawatan berkenaan sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Kesedar, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, semalam.

"Insya-Allah surat peletakan jawatan akan dihantar sebelum Khamis ini. Malah, Pengerusi Kesedar menerima baik peletakan jawatan ini dan memahami kemelut yang dihadapi.

"Keputusan ini dibuat dengan kerelaan saya sendiri tanpa dipengaruhi pihak lain. Malah, saya menyifatkan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap kerajaan PN adalah langkah tepat," katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan Umno Negeri di sini, hari ini.

Terdahulu, beberapa pimpinan Umno meletak jawatan termasuk jawatan menteri dan dalam agensi berkait kerajaan.

Antaranya Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad serta Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Boustead Holding Berhad.

Mengulas lanjut, Mohd Bakri mengakui keputusan untuk meletakkan jawatan adalah keputusan berat memandangkan sudah setahun menggalas jawatan berkenaan.

"Saya berterima kasih kepada Pengerusi Kesedar yang sentiasa bekerjasama baik dengan saya selama ini.

"Apa yang pasti keputusan dibuat bukan disebabkan salah faham dengan kepimpinan Kesedar sebaliknya menghormati keputusan parti," katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2021 @ 12:37pm
d