mutakhir

Tiga individu ditahan, 'misi' seludup ketum ke Thailand gagal

Oleh Aizat Sharif

Padang Besar: Kegiatan tiga lelaki termasuk dua remaja cuba menyeludup 13 guni daum ketum seberat 396 kilogram (kg) ke Thailand apabila ditahan di Felda Lubuk Sireh, di sini, Isnin lalu.

Penahanan mereka dibuat kira-kira 10 malam oleh sepasukan anggota Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim di sebuah ladang berhampiran KTJ Pos TS 10 di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.

Pegawai Pemerintah Medan Markas Taktikal Briged Utara PGA, Deputi Superintendan Mohd Razali Melin berkata, terdahulu anggota menjalankan rondaan berhampiran kawasan penempatan itu.

"Setiba di lokasi kejadian, anggota ternampak sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Pajero dinaiki dua lelaki dengan diiringi oleh dua lagi lelaki bermotosikal sedang berhenti dalam keadaan mencurigakan.

"Menyedari kehadiran anggota PGA, pemandu pacuan empat roda itu kemudian bertindak melarikan diri ke arah kawasan hutan berhampiran dan gagal dikesan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tiga lelaki termasuk dua remaja berusia 16 hingga 33 tahun berjaya ditahan untuk siasatan.

Katanya, pemeriksaan di dalam pacuan empat roda itu menjumpai 13 guni putih berisi daun ketum yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan.

"Siasatan awal mendapati salah seorang suspek yang ditahan turut dikehendaki polis berkaitan kes dadah, dan saringan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM43,380 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2021 @ 2:29pm
d