mutakhir

'Ultraman' sudah lengkap vaksinasi Covid-19 [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Lelaki yang pernah menjadi perhatian ramai selepas mengenakan kostum adiwira Ultraman bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sekali lagi mencuri tumpuan apabila muncul semula untuk menerima dos kedua, hari ini.

Jika sebelum ini Mohamad Syukur Mohd Patthi, 27, menyarungkan kostum Ultraman dengan karakter 'Ultraseven', tetapi hari ini dia tampil dengan kostum anak Ultraseven iaitu Ultraman Zero di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hospital Pakar KPJ, Bandar Perda, di sini.

Mohamad Syukur berkata, dia memilih kostum Ultraman kerana amat meminati adiwira itu, di samping jarang orang ramai menemui karakter itu di luar.

"Pemilihan kostum ini juga kerana mudah untuk saya menerima suntikan vaksin berbanding kostum lain. Bimbang pula ia akan memberi masalah kepada petugas barisan depan ketika vaksinasi.

"Sebelum membuat pilihan ini, saya mencubanya terlebih dahulu dan bertanya kepada pihak PPV yang akhirnya lega apabila semuanya berjalan lancar," katanya.

Selain karakter Ultraman, Mohamad Syukur pernah mengenakan beberapa kostum adiwira terkenal lain termasuk Bumblebee, Optimus Prime, Batman, Kamen Rider, Iron Man, Spiderman dan Power Rangers.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, suasana di PPV tetap meriah apabila melihat dia berpakaian Ultraman, sama seperti proses suntikan pertama pada 23 Julai lalu.

"Ramai yang berada di PPV seronok bila nampak ketibaan saya bahkan ramai ajak bergambar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Ia sebenarnya memberikan kepuasan apabila dalam keadaan ramai yang tertekan diharapkan dengan gelagat saya mampu memberikan kegembiraan kepada orang lain.

"Bersempena suntikan kedua pada bulan ini, saya juga mengambil kesempatan membawa Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 13, 2021 @ 4:39pm
    d