Bola Sepak

PSG menang, Messi sekadar jadi penonton [METROTV]

Oleh AFP

Paris: Lionel Messi mula merasai suasana di tempat baharu selepas diperkenalkan di depan penyokong Paris Saint-Germain (PSG) yang memenuhi stadium sebelum menyaksikan rakan sepasukannya menewaskan Strasbourg 4-2 dengan Kylian Mbappe mempamerkan watak penting.

Messi menerima sambutan hebat sebaik berlari memasuki padang bersama-sama barisan muka baharu PSG yang lain di depan kira-kira 48,000 penyokong.

Messi menyertai Sergio Ramos, Gianluigi Donnarumma, Georginio Wijnaldum dan Achraf Hakimi menaiki pentas khas di Parc des Princes.

Sensasi Argentina itu kemudian bersama-sama Neymar dan Angel di Maria menyaksikan skuad bimbingan Mauricio Pochettino melakar kemenangan kali kedua di saingan Ligue 1 musim ini.

Mereka mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi gol Mauro Icardi, Julian Draxler serta gol sendiri Ludovic Ajorque sebelum Kevin Gameiro dan Ajorque menjaringkan gol untuk pelawat pada babak kedua.

Bagaimanapun Pablo Sarabia memastikan kemenangan untuk PSG selepas Strasbourg terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

"Dengan semua yang berlaku di dalam kelab, bukan mudah untuk kekal fokus pada perlawanan sebenar," akui Pochettino kepada stesen penyiar Canal Plus.

Antara penonton yang menyaksikan perlawanan itu adalah pemandu Formula Satu (F1), Pierre Gasly; bekas pemenang Olimpik Judo Perancis, Teddy Riner dan bintang NBA, Evan Fournier.

Kesemua mereka mahu menyaksikan aksi Messi namun bintang Argentina itu dijangka hanya akan membuat penampilan kali pertama dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Disiarkan pada: August 15, 2021 @ 10:30am
d