utama

Letak sudu pun dapat bacaan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Letak pada perkakas tidak bernyawa pun menunjukkan bacaan oksigen lebih 90 peratus, sekali gus memberi gambaran salah kepada keadaan kesihatan seseorang.

Itu yang berlaku terhadap lambakan penjualan kit pengukur oksigen darah atau oximeter yang berada di pasaran tidak mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Peranti perubatan berkenaan menjadi 'pisang goreng panas' bagi tempoh pandemik ini memandangkan kebanyakan individu bergantung kepada bacaan mesin berkenaan untuk mengetahui tahap kesihatan mereka.

Pesakit kritikal yang dijangkiti Covid-19 merekodkan bacaan oksigen yang rendah, sekali gus menjadikan peranti berkenaan umpama 'kit perubatan wajib ada' di setiap rumah pada hari ini.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Leftenan Kolonel (Kehormat) Che Hassan Che Johan berkata, peranti berkenaan banyak dijual menerusi platform laman dagang dengan harga semurah RM15 hingga kepada ratusan ringgit.

Menurutnya, pihaknya ada menerima aduan orang ramai berhubung ketidaktepatan bacaan mesin oximeter dibeli menerusi laman dagang itu sehingga ada yang dimasukkan ke hospital untuk mendapat rawatan intensif susulan 'ralat' bacaan pada peranti terbabit.

"Kami ada beli beberapa mesin oximeter ini di laman dagang untuk membuktikan dakwaan yang dibuat dan hasilnya mengejutkan.

"Saya sendiri letak mesin itu di meja, sudu, kain dan pelbagai lagi perkakas tidak bernyawa namun mesin itu merekodkan bacaan oksigen melebihi 95 peratus umpama manusia.

"Jadi, ini menimbulkan tanda tanya berhubung kewujudan lambakan peranti kesihatan yang tidak mendapat pengiktirafan daripada MDA namun dijual di pasaran secara terbuka," katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Che Hassan berkata, mesin pengukur oksigen itu menjadi peranti perubatan yang dicari oleh ramai orang memandangkan mereka mahu memantau tahap oksigen di dalam darah pada setiap masa.

"Bagaimana jika seseorang itu dijangkiti Covid-19, diarah melaksanakan kuarantin di rumah dan bergantung kepada mesin oximeter ini yang setiap kali memberi bacaan oksigen yang baik sedangkan paras oksigen pesakit sudah berada di tahap kritikal.

"Ini bukan teori, kami ada aduan berhubung perkara ini dan pesakit berkenaan terpaksa ditidurkan selepas doktor melihat tahap oksigen yang rendah sedangkan mesin berkenaan masih merekodkan bacaan normal," katanya.

Menurutnya, PPMM mahu agensi berkaitan terutamanya orang awam lebih peka dengan keadaan ini dan hanya melakukan pembelian terhadap peranti yang mendapat kelulusan MDA saja.

Katanya, agensi bertanggungjawab juga perlu mengenakan tindakan yang tegas terhadap penjual yang didapati melakukan dagangan peranti kesihatan tiada kelulusan MDA.

"Kita faham ketika ini semua panik dan mahu membeli peranti kesihatan sebagai langkah awal memantau kesihatan mereka namun bagaimana jika peranti itu beri bacaan salah, itu lebih bahaya," katanya.

Semak dahulu kelulusan MDA

Kuala Lumpur: Penggunaan peranti perubatan yang tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bukan saja memberi bacaan tidak tepat, malah mengakibatkan risiko kematian kepada pengguna.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pengguna perlu peka dengan penggunaan peranti perubatan mereka dan tidak hanya mendahulukan harga yang murah semata-mata.

"Sebaiknya, pengguna perlu semak dulu senarai peranti atau jenama yang sudah mendapat kelulusan daripada MDA.

"Mungkin bagi sesetengah orang kita lihat isu ini remeh saja, namun perkara remeh ini mampu membawa maut terutamanya bagi mesin oximeter yang sering menjadi panduan bagi orang ramai ketika ini.

"Mungkin seseorang itu sudah mengalami penurunan oksigen dalam darah yang ketara namun masih bergantung kepada bacaan peranti terbabit, akibatnya dia berdepan dengan keadaan parah atau lebih teruk lagi adalah kematian," katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Dr Zainal Ariffin berkata, peranti yang mendapat kelulusan MDA berkenaan sudah ditentuukur oleh badan bertauliah berkenaan dan menjadikan ia peranti yang merekodkan bacaan tepat.

Beliau berkata, lambakan peranti ini sememangnya membimbangkan kerana ia menyebabkan bacaan serta penilaian kurang tepat sekali gus membahayakan.

"Contoh mudah untuk kita faham adalah mungkin keadaan seseorang pesakit itu sudah teruk, tapi masih bergantung pada bacaan yang ralat berkenaan dan tidak mendapatkan rawatan di hospital.

"Jika keadaan itu berlaku, pastinya pesakit berkenaan akan berdepan dengan risiko keadaan yang lebih parah serta maut. Ini yang kita mahu elakkan," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan jangan tergesa-gesa untuk membeli peranti dengan harga yang murah kerana bimbang bacaannya tidak tepat serta memberi risiko kepada nyawa sendiri.

Bacaan 'normal' rupanya meleset

Kuala Lumpur: "Kakak memang banyak bergantung kepada bacaan mesin oximeter, cuma tak sangka bacaan mesin berkenaan sangat tidak sama sehingga nyaris meragut nyawa kakak."

Itu pendedahan dibuat Syairul Hakim, 32, berhubung mesin oximeter yang dibeli kakaknya menerusi laman dagang menunjukkan bacaan tahap oksigen dalam darah jauh berbeza.

Menceritakan lanjut, Syairul berkata, kakaknya disahkan positif Covid-19 sekitar minggu lalu dan hanya menjalani kuarantin di rumah kerana tiada gejala yang membahayakan.

"Boleh kata setiap hari kakak WhatsApp saya beritahu keadaan terkini dan dia memang banyak bergantung kepada bacaan paras oksigen yang diambil daripada oximeter yang dibelinya.

"Setiap kali saya bertanya kepada kakak tentang paras oksigennya, dia menyatakan bacaan normal iaitu melebihi 90 peratus namun keadaan kesihatannya merosot beberapa hari selepas disahkan positif.

"Saya tidak sedap hati dan memaklumkan kepada petugas kesihatan termasuk memberikan beberapa butiran diperlukan," katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila kakaknya memaklumkan paras oksigen dalam darahnya jauh berbeza dengan rekod bacaan mesin berkenaan dan perlu dirawat di hospital.

Katanya, doktor memberitahu keadaan kakak kritikal kerana tahap oksigen rendah dan perlu melalui prosedur ditidurkan sebagai kaedah rawatan.

"Alhamdulillah, biarpun keadaan kakak masih lemah namun doktor memaklumkan keadaannya stabil dan paras oksigennya sudah meningkat saban hari.

"Saya ada mengambil mesin oximeter kepunyaan kakak dan melakukan ujian terhadap beberapa bahan tidak bernyawa dan amat mengejutkan ia masih merekod bacaan oksigen," katanya.

Dia mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli peranti kesihatan yang terlalu murah di laman dagang sehingga mengakibatkan bacaan yang terhasil adalah sangat tidak tepat.

"Lebih baik beli perkakas perubatan dapat pengiktirafan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) kerana biarpun harganya agak tinggi namun ia selamat untuk digunakan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna yang tertipu dengan penjualan oximeter murah, Mizul Akmar, 30, turut berkongsi pengalaman yang hampir sama apabila peranti itu merekodkan bacaan sama setiap kali semakan.

"Saya beli peranti itu di laman dagang dengan harga sekitar RM20 dan berdasarkan keterangan produk, ia dilengkapi dengan bacaan degupan jantung.

"Peranti itu memberikan bacaan kadar oksigen dalam darah yang sama iaitu pada tahap 97 peratus setiap kali semakan dibuat menjadikan saya rasa agak pelik.

"Beberapa hari selepas penggunaannya, saya tergerak hati untuk melakukan semakan kadar oksigen menerusi jam pintar yang turut mempunyai kefungsian berkenaan dan melihat bahawa wujud perbezaan bacaan," katanya.

Menurutnya, dia cuba meletakkan peranti oximeter itu terhadap barang tidak bernyawa dan amat mengejutkan apabila masih merekodkan bacaan oksigen dalam darah.

"Selepas itu, saya buang peranti itu. Bayangkan jika saya pesakit Covid-19 yang dikuarantin di rumah, bergantung kepada bacaan berkenaan setiap masa, pasti keadaan buruk akan menimpa," katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2021 @ 12:00pm
d