mutakhir

Empat PPV di Pulau Pinang ditutup sehari [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Batu Kawan: Empat pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini ditutup selama sehari, hari ini berikutan kekurangan dos vaksin Pfizer-BioNTech (Pfizer) sejak 12 Ogos lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, berikutan itu terdapat penangguhan pemberian vaksin kepada orang ramai.

Menurutnya, ia tidak menjejaskan program vaksinasi dan orang ramai diminta menyemak janji temu di aplikasi MySejahtera untuk tarikh baharu.

"Orang ramai yang sepatutnya menerima janji temu suntikan dos kedua di empat PPV itu telah ditangguhkan seketika dan diminta menyemak aplikasi MySejahtera untuk mengetahui tarikh baharu," katanya.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam laman sosial Facebook rasmi malam tadi memaklumkan penutupan empat PPV terbabit.

Ia adalah Kompleks Sukan Balik Pulau (Barat Daya); Dewan Balai Rakyat Bayan Baru (Barat Daya); Tapak Pesta (Timur Laut) dan Dewan Milenium, Kepala Batas (Seberang Perai Utara).

Kesemua PPV berkenaan akan beroperasi semula, esok.

Menurut kenyataan itu, penerima dos kedua vaksin Pfizer yang dijadualkan mulai hari ini sehingga 19 Ogos akan dipinda kepada 22 hingga 26 Ogos ini.

Disiarkan pada: August 15, 2021 @ 4:51pm
d