mutakhir

Pergerakan Muhyiddin jadi tumpuan [METROTV]

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pergerakan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menjadi tumpuan rakyat Malaysia khususnya petugas media susulan perkembangan politik semasa negara.

Perdana Menteri ketika dibawa keluar dari kediamannya di Bukit Damansara pada 7.42 pagi ini dilihat melambai ke arah petugas media yang sudah berada di sekitar kawasan itu sejak awal pagi.

Beliau kemudian tiba di bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 8.07 pagi, dijangka untuk menghadiri mesyuarat khas Kabinet.

Turut kelihatan tiba di bangunan itu, kenderaan-kenderaan membawa Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Di Putrajaya, Muhyiddin yang tiba di bangunan Perdana Putra itu melambai ke arah petugas media yang berkumpul sejak 7 pagi.

Turut kelihatan kenderaan-kenderaan yang membawa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang tiba di bangunan itu.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semalam, satu mesyuarat khas Kabinet akan diadakan pada Isnin (hari ini) tanpa memperincikan agenda pertemuan berkenan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dilaporkan berkata, Muhyiddin dijangka membuat satu pengumuman khas hari ini.

Disiarkan pada: August 16, 2021 @ 9:21am
d