Bola Sepak

Bayern kekal kejuaraan Piala Super Jerman

Oleh AFP

Berlin: Robert Lewandowski meledak dua gol ketika Bayern Munich mengekalkan kejuaraan Piala Super Jerman menerusi kemenangan 3-1 ke atas Borussia Dortmund, pagi ini.

Lewandowski meletakkan Bayern di depan menerusi tandukan deras dekat Signal Iduna Park sebelum Thomas Mueller menambah jaringan untuk pelawat mendahului 2-0 hanya selepas rehat perlawanan.

Kapten Dortmund, Marco Reus merapatkan kedudukan menerusi rembatan lencong menarik sebelum Lewandowski melengkapkan kemenangan dalam perlawanan itu.

Penyerang berusia 32 tahun itu kini meledak 24 gol lebih banyak daripada perlawanan berdepan Dortmund di mana dia beraksi selama empat tahun dari 2010-2014.

"Ini cukup bermakna buat saya. Kami sudah memenangi kejuaraan seterusnya dan bagi penonton ia pastinya perlawanan yang menarik untuk disaksikan," kata Lewandowski kepada Sky.

"Sesuatu yang sangat hebat untuk pasukan di mana kami boleh gembira."

Bayern memenangi semua enam perlawanan terakhir mereka menentang Dortmund.

Ia mengembalikan semula rentak kemenangan Bayern, yang gagal mencatat kemenangan dalam empat aksi persahabatan pra musim sebelum terikat 1-1 berdepan Borussia Moenchengladbach, Jumaat lalu, pada perlawanan pembukaan kempen baharu mereka dalam saingan Bundesliga.

Jurulatih baharu, Julian Nagelsmann menjulang trofi di mana Bayern turut memenanginya tahun lalu berdepan Dortmund di Munich, dengan kemenangan pertamanya selepas mengambil alih tugas itu.

"Kami lebih baik berbanding Gladbach dan ini adalah kemenangan penting buat pemain," kata Nagelsmann yang memuji aksi luar biasa Lewandowski.

Disiarkan pada: August 18, 2021 @ 7:08am
d