mutakhir

Calon PM harus taat titah Agong

Oleh Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Calon Perdana Menteri yang dipilih Barisan Nasional (BN) dan Umno tidak boleh mengikat dirinya dengan perjanjian untuk mengekalkan struktur Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, calon itu juga harus taat kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan sebuah Kabinet yang mampu menterjemahkan permuafakatan dan perpaduan semua parti politik untuk menangani Covid-19, menguruskan kesejahteraan rakyat dan agenda pemulihan negara.

Menurutnya, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berkongsi intipati titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkali-kali menegaskan dalam sesi mengadap ketua parti semalam bahawa 'Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua'.

"Tentunya ada sebab dengan penuh hikmah kenapa Yang di-Pertuan Agong menitahkan undi percaya dilakukan di Parlimen.

"Ia bertujuan untuk mengabsahkan kedudukan Perdana Menteri, selepas dinamakan kelak oleh baginda," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Malam tadi, BN mencapai kata sepakat apabila hanya nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinamakan sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi ciapannya di Twitter.

Nama calon Perdana Menteri perlu dihantar sebelum 4 petang hari ini kepada Al-Sultan Abdullah.

Notis itu dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan surat akuan bersumpah menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara sebelum tempoh berkenaan.

Disiarkan pada: August 18, 2021 @ 11:14am
d