mutakhir

Kelantan sumbang RM50,000 bantu mangsa banjir Kedah

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kerajaan Kelantan akan menyumbang RM50,000 bagi membantu Kedah dalam pemulihan banjir yang disebabkan fenomena kepala air di Gunung Jerai, semalam.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, sumbangan daripada Tabung Serambi Mekah itu juga sebagai tanda solidariti dan kebersamaan dua negeri berkenaan.

"Semoga usaha pasukan penyelamat dipermudahkan dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat. Sama-sama kita doakan agar mangsa yang hilang ditemui dan usaha pemulihan di kawasan yang terjejas dapat dilaksanakan sebaiknya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian itu beberapa kawasan sekitar Gunung Jerai dilanda banjir besar dan tanah runtuh akibat fenomena kepala air berpunca dari puncak gunung berkenaan.

Setakat petang, hari ini, empat mangsa ditemukan maut, seorang cedera dan dua masih hilang.

Disiarkan pada: August 19, 2021 @ 10:19pm
d