rap

Lan Pet Pet mahu 'move on', jadi orang yang lebih baik

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Dihujani dengan pelbagai kontroversi bermula dengan isu memukul seorang pengawal keselamatan, memukul seorang penghantar makanan dan dikatakan menjual barang terlarang ternyata memberi kesan terhadap pelawak dan pelakon popular, Mazlan Ahmad, 52, atau Lan Pet Pet.

Pelbagai pandangan negatif dan kecaman dilemparkan netizen terhadap pelawak yang juga anggota kumpulan Senario ini di media sosial.

"Saya tak nak kenang lagi segala cerita yang berlaku sebelum ini. Biarlah ia berlalu begitu saja. Malas nak diingat lagi. Saya sekarang nak 'move on' dan enggan pedulikan lagi kata-kata netizen yang selalu kecam saya tanpa usul periksa.

"Namun, saya nasihatkan netizen janganlah mudah menghukum dan mengeji sehingga babitkan nama ibu bapa. Kena ingat sekarang akhir zaman dan banyak fitnah," katanya kepada Harian Metro.

Mazlan berkata, dia kini ingin memperbanyakkan amalan untuk bekalan ke akhirat.

"Salah satunya ialah dengan bersedekah dan menyantuni golongan gelandangan sekitar ibu kota dengan mengagihkan makanan buat mereka.

"Perasaan gembira saya sukar digambarkan apabila tengok mereka begitu bersyukur dengan pemberian saya. Ternyata mereka amat menghargai apa yang diberikan," katanya yang mengagihkan hampir 100 pek makanan, semalam.

Menurutnya, dia memilih memberikan makanan semalam memandangkan ia adalah malam Jumaat.

"Ia juga sempena malam 10 Muharram yang diketahui mempunyai kelebihan tersendiri seperti mana disebutkan Nabi Muhammad SAW dalam hadis.

"Apa salahnya kita sama-sama mencari keberkatan dengan kedatangan 10 Muharram," katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2021 @ 6:53pm
d