mutakhir

Wujudkan jawatan TPM II, mewakili Borneo - Komponen GPS

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneliti supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri II diwujudkan dan khusus untuk wakil dari Borneo.

Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Sebastian Ting berkata, langkah itu tepat kerana Sarawak dan Sabah adalah dua rakan kongsi yang setara dalam Malaysia.

Menurutnya, dua wilayah di Borneo itu banyak menyumbang dalam pembangunan negara sejak membentuk Malaysia bersama Tanah Melayu.

"Justeru, SUPP mengusulkan dua pemimpin GPS sama ada Datuk Seri Fadillah Yusof atau Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk jawatan itu.

"Mereka berpengalaman luas dalam pentadbiran negara kerana pernah bertugas sebagai menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, jawatan Timbalan Perdana Menteri wajar diberikan kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, ia sebagai menghargai sumbangan dua negeri itu dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan.

"Jika Perdana Menteri baharu mahu mewujudkan dua timbalannya, pastikan salah satu dari Sabah atau Sarawak.

"Pelantikan adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dua wilayah itu dalam mengukuhkan Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2021 @ 4:48pm
d